Tuesday, 29 November 2011

PEPATAH

Pepatah seakan-akan sama dengan bidalan, tetapi pepatah mempunyai rangkaian perkataan berkerat-kerat atau berpatah-patah. Setiap rangkai pepatah terdiri daripada dua baris atau lebih dan disebut satu demi satu seolah-olah orang sedang membuat perbilangan atau perkataan.



Pepatah berkait rapat dengan adat istiadat, undang-undang atau peraturan masyarakat.
Sebagai contoh, diam ubi berisi, diam besi berkarat bermaksud orang yang pendiam tetapi berakal itu lebih baik daripada orang yang pendiam tetapi bodoh.

Thursday, 10 November 2011

PERUMPAMAAN

Perumpamaan pula merupakan peribahasa yang menyatakan sesuatu maksud dengan
diumpamakan kepada sesuatu yang lain sehingga menerbitkan makna dua lapis. Istilah perumpamaan digunakan kerana sesuatu maksud itu dikaitkan atau diumpamakan dengan satu perkara lain yang setanding Ini bermakna perkataan yang diungkapkan mempunyai makna yang lain daripada erti perkataan yang dipaparkan. Ini menjelaskan perumpamaan mengandungi makna tersurat dan tersirat. Menurut Za’ba (1965) peribahasa yang tidak mempunyai erti dua lapis tidaklah boleh dinamakan perumpamaan yang berasal daripada bahasa kiasan. Perumpamaan terdiri daripada dua jenis iaitu yang menggunakan perbandingan dan yang tidak menggunakan perbandingan. Kebiasaannya perumpamaan akan menggunakan perkataan bagai, laksana, dan seperti. Sebagai contoh; bagai aur dengan tebing yang bermaksud bermuafakat atau tolong-menolong.

Terdapat dua bentuk perumpamaan, iaitu yang menyatakan perbandingan secara terang-teragnan dan yang tidak menyatakan perbandingan secara terang-terangan. Perumpamaan yang menyatakan perbandingan secara terang-teranan didahului dengan kata-kata perbandingan seperti, umpama, bagai, laksana, ibarat dan baik; manakala perumpamaan yang tidak disebutkan perbandingan tidak didahului kata-kata perbandingan tersebut.

Perumpamaan yang melibatkan perbandingan
a. Seperti katak di bawah tempurung
b. Umpama kaca dengan permata
c. Bagai pungguk rindukan bulan
d. Ibarat air di daun keladi
e. Laksana katak diharung ular

 Perumpamaan yang tidak melibatkan perbandingan
a. Genggam bara api biar sampai jadi arang
b. Diberi betis hendak peha
c. Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain  

BIDALAN

Bidalan ialah susunan kata-kata yang telah digunakan umum dalam masyarakat Melayu. Di dalam bidalan terkandung perbandingan, teladan, dan pengajaran. Bidalan ialah peribahasa yang berfungsi sebagai nasihat seperti perumpaan, bidalan juga mempunyai maksud dua lapis. Bagaimanapun bdalan tidak didahului oleh kata sendi nama seperti, bagai, laksana dan umpama. Perbezaan antara bidalan dengan pepatah ialah bidalan lebih kerap digunakan, mempunyai nilai, ilmu dan pengajaran, sedangkan pepatah lebih ringkas sifatnya dan tidak mempunyai pengajaran.


Contoh bidalan seperti jangan bawa resmi jagung, makin berisi makin tegak yang bermaksud semakin kaya semakin sombong. Bidalan ini menjadikan sifat pokok jagung apabila telah berbuah, pokok jagung akan terus berdiri tegak. Selain itu, isi jagung dapat dikaitkan dengan harta kemewahan. Oleh itu, Perbandingan antara jagung dan manusia digambarkan seperti orang yang kaya semakin meninggi diri.




Keadaan ini akan memberi pengajaran kepada manusia supaya tidak menjadi seperti jagung sebaliknya hendaklah menjadi seperti resmi padi semakin berisi, semakin tunduk. Perbandingan ini adalah maksud sebaliknya dengan bidalan yang pertama tadi.

Contoh Bidalan

Adat periuk berkerak, adat lesung berdedak - Jika ingin hidup mewah, mestilah berusaha
Alur bertempuh, jalan berturut - Melakukan sesuatu hendaklah menurut kebiasaan yang lazim 

Monday, 7 November 2011

SIMPULAN BAHASA

Simpulan bahasa ialah ungkapan yang terdiri daripada dua perkataan atau lebih dan mempunyai makna yang berlainan daripada erti perkataan yang membentuknya. Biasanya simpulan bahasa berkaitan dengan beberapa perkara iaitu tubuh badan, haiwan, tumbuh-tumbuhan, dan nama khas. Simpulan bahasa merupakan ungkapan yang telah mantap dan mempunyai maksud yang khusus.Ia mempunyai maksud yang berbeza daripada makna harfiah kata-kata dalam ungkapan. Terdapat juga simpulan bahasa yang bersifat bebas, contohnya juling air dan serkap jarang (Za’ba, 1965).

Menurut Za'aba, simpulan bahasa dapat dihasilkan berdasarkan empat perkara iaitu:
1. Perbandingan atau kiasan dengan cerita yang masyur seperti Mat Jenin, Lebai Malang dan Abu Jahal
2. Benda atau kejadian yang berlaku di sekeliling seperti mandi kerbau, mata duitan, dan kutu embun
3. Kepercayaan masyarakat seperti harimau berantai, buruk siku dan dimakan bulan
4. Daripada kebiasaan atau resaman bahasa seperti ada hati, gila bahasa dan beri muka
Simpulan bahasa yang berkaitan dengan tubuh badan:
Telinga
Telinga kuali - Orang yang tahan hati walaupun dimarahi
Telinga lintah - Tajam pendengaran
Telinga nipis - Mudah marah


Contoh ayat:
1. Dia hanya mendiamkan diri apabila dimarahi kerana dia telinga kuali.
2. Walaupun Pak Hasan sudah tua tetapi dia telinga lintah.
3. Mereka tidak suka bergurau dengan Wahab kerana dia telinga nipis.







Simpulan bahasa yang berkaitan dengan haiwan:
Haiwan
Hati tikus - Orang yang penakut
Buaya darat - Orang yang suka memperdaya perempuan 
Cicak kubin - Orang yang kurus


Contoh ayat:
1. Dia menjadi hati tikus apabila melalui rumah yang kosong itu.
2. Lelaki yang kacak itu dianggap buaya darat kerana telah memperdaya ramai perempuan.
3. Tubuhnya macam cicak kubin selepas mengambil dadah. 










Simpulan bahasa yang berkaitan dengan tumbuh-tumbuhan:

Durian
 Durian runtuh - Dapat terpijak
Diam-diam ubi - Orang yang diam tetapi pandai dan rajin
Biang keladi - Orang atau hal yang menjadi punca kejahatan


Contoh ayat:
1. Dia mendapat durian runtuh daripada majikannya.
2.Jais diam-diam ubi, tetapi keputusannya sangat cemerlang.
3. Dia menjadi biang keladi dalam kes kecurian lembu baru-baru ini.


Simpulan bahasa yang berkaitan nama khas:

Mat Jenin

Mat Jenin - Orang yang suka berangan-angan
 Abu Nawas - Orang yang suka berhelah
Abu Jahal - Orang yang jahat dan tidak suka akan kebaikan

Contoh ayat:
1. Berusahalah kalau mahu berjaya dan jangan menjadi seperti Mat Jenin.
2. Kami memanggilnya Abu Nawas kerana suka berhelah apabila ditanya.
3. Abu Jahal di Kampung Semarang telah ditangkap polis pagi tadi. 

CIRI DAN TUJUAN PERIBAHASA

Peribahasa adalah cerminan watak bangsa yang memilikinya. Setiap masyarakat mempunyai peribahasa yang tersendiri. Di samping itu, peribahasa penting dalam konteks penelitian warisan dan keterampilan pengguna bahasa. Peribahasa juga mempunyai makna yang tersirat yang cukup mendalam dan tepat sehingga membolehkan komunikasi lisan atau tulisan menjadi lebih lancar dan berkesan. Kewujudan peribahasa adalah serentak dengan kewujudan sesebuah bangsa dan terus berkembang dalam proses manusia menyesuaikan dirinya dengan kehidupan sehariannya. Peribahasa telah digunakan untuk mengenal peradaban, menentukan nilai-nilai murni, serta mencari ketetapan dalam tatacara hidup bermasyarakat.

Menurut Abdullah Hussain (2003), tiga sumber utama digunakan oleh masyarakat untuk menghasilkan peribahasa iaitu:
1. Melalui pengalaman hidup khususnya dalam kalangan rakyat biasa
2. Melalui penaakulan para bijak pandai
3. Menerusi sumber yang didapati daripada kitab-kitab suci

Peribahasa yang sering dituturkan oleh masyarakat Melayu bukan sahaja mengandungi isi dan kiasan yang tepat, malah ungkapan bahasa yang dihasilkan amat teratur, ringkas dan padat. Oleh itu, perlu disedari bahawa peribahasa dalam fungsinya menyampaikan pengajaran, teladan dan sindiran mempunyai ciri pelembut agar pendengar atau pembacanya tidak mudah terasa hati. Unsur didaktik yang dibawa melalui peribahasa juga akan dapat memberi impak yang besar ke atas pemikiran serta perasaan masyarakat.

Peribahasa secara umumnya, merangkumi simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, bidalan, perbilangan, kata-kata hikmah dan bahasa kiasan (HSP Bahasa Melayu Tingkatan 4, 2003). Setiap satunya mempunyai sifat dan tujuan yang tertentu. 

Menurut Za'ba, peribahasa ialah susunan kata yang pendek dengan makna yang luas, mengandungi kebenaran, sedap didengar dan bijak perkataannya (http://www.tutor.com.my/) Terdapat pihak yang mengklasifikasikan peribahasa seperti berikut:
a, Peribahasa selapis yang terdiri daripada pepatah, bidalan dan perbilangan (pepatah).
b. Peribahasa berlapis, iaitu perumpamaan
c. Lidah pendeta

Namun ada juga yang membahagikan peribahasa seperti berikut:

  • Simpulan bahasa
  • Perumpamaan
  • Bidalan
  • Pepatah atau Perbilangan
Bukan Peribahasa:
  • Kiasan
  • Metafora