Tuesday 13 December 2011

IKAT PERUT

Mata Dollah terbeliak dan terus memandang bumbung rumah sewanya. Selimut yang telah menyelimuti tubuhnya hampir 12 jam sudah malas untuk menyelimuti tubuh Dollah. Dollah cuba pejamkan mata. Tapi tak boleh. Perut Dollah dah lama pedih. Dah dua hari Dollah ikat perut. Dah dua hari juga Dollah makan maggi. Dollah tak keluar rumah. Rakan serumah ajak Dollah keluar. Tapi Dollah menolak. Dollah kata dia nak buat assignment teknologi maklumat. Sebenarnya Dollah tak ada duit nak makan di luar. Duit elaun yang di beri dah habis. Mujurlah hari ini hari Ahad. Esok duit elaun masuk. Dollah cuma perlu ikat perut satu hari lagi. Maggi pun masih tinggal 4 bungkus. Cukuplah tu. Esok Dollah pasti kenyang besar. Sebab esok Dollah tak perlu lagi ikat perut.

ORANG GAJI

Leman lesu bila memikirkan desakan isterinya supaya mendapatkan orang gaji. Bagi Leman, dia ingin melihat anaknya membesar dengan mereka. Lagipun Leman agak bimbang tentang cerita orang gaji di akhbar. Walaupun adanya orang gaji kelak dapat meringankan beban isterinya, tapi Leman fikirkan pula tentang rumahnya yang kecil. Ada tiga bilik saja. Mana cukup. Lagipun nak bayar gaji orang gaji sekarang mahal. Paling kurang RM600. Itu tak termasuk syarat-syarat lain. Sebab itu, kadang-kadang Leman jadi macam orang gaji. Basuh kain, sidai kain, dan memasak. Leman paling suka bila melihat anak isterinya makan sampai habis apa yang dia masak. Kalau isterinya jemu memasak, Leman akan tolong masak. Kalau dah jemu, makan di luar saja. Sebab itu Leman pendamkan saja hasrat isterinya untuk dapatkan orang gaji. Bimbang juga nanti bila ada orang gaji tak dapat bayar gaji pula.

Saturday 10 December 2011

MAKAN ANGIN

Sekarang ni dah masuk pukul sepuluh pagi. Samsiah masih lagi dibilik. Sedang bersiap-siap untuk makan angin. Anaknya yang seramai tiga orang dah lama menunggu di luar rumah. Satu beg besar sudah siap dengan pakaian untuk tiga hari makan angin. "Ayah dah balik?". Tanya Samsiah pada anak sulongnya, Kamarul. "Belum". Jawab Kamarul pendek. Setengah jam kemudian, Encik Zali pulang ke rumah sambil meletakkan kereta Exoranya di bahu jalan dekat rumahnya. "Ayah nak bawa makan angin di mana?". Tanya Laila yang baru berusia enam tahun. "Kuala Sepetang, dekat Taiping". Jawab Encik Zali. Laila sangat suka apabila ayahnya ingin membawanya makan angin di Kuala Sepetang. Tahun lepas ayahnya tak bawa ke mana-mana untuk makan angin. Cuma makan angin di kampung sahaja. Tepat pukul 12 tengah hari, Encik Zali sekeluarga meninggalkan rumah mereka di Bukit Beruntung untuk makan angin di Kuala Sepetang. "Kenapa abang nak makan angin di Kuala Sepetang? Apa yang ada di sana?". Tanya isterinya. "Oh! Di sana nanti kita akan tinggal di sebuah homestay. Kita akan dibawa melihat hutan bakau, burung-burung yang bermastautin. Yang paling menarik kita akan melihat cara-cara membuat kayu arang daripada pokok bakau." Jelas Encik Zali. Samsiah melopong bila suaminya ingin makan angin di Kuala Sepetang. Samsiah ingat suaminya nak makan angin di Bali. Dia dah beli beberapa pasang pakaian untuk makan angin di Bali. Rupanya tidak. Samsiah terus melopong.

Thursday 1 December 2011

MEMERAH OTAK

Lamin baru semester satu di salah sebuah universiti tempatan. Tapi sifatnya agak malas berbanding semasa belajar di sekolah dulu. Banyak tugasan yang dibuat tidak memenuhi kehendak soalan. Dia buat ala kadar sahaja. Sewaktu ujian semester, dia terpaksa memerah otak untuk menjawab semua soalan. Tidak ada satupun soalan yang mudah dijawab. Setengah jam pertama dia masih lagi memerah otak untuk menjawab soalan statistik. Sekali-sekala dia melihat orang lain yang sedang memerah otak untuk menjawab. Ada juga yang dah meminta kertas tambahan. Lamin pejam seketika. Kemudian dia memerah otak semula. Lagi setengah jam untuk habis kertas statistik, ramai calon telah keluar. Lamin terfikir mungkin mereka buat ulang kaji dan ambil catatan pensyarah jadi tak perlu memerah otak sangat. Bila masa menjawab telah tamat, Lamin hanya pasrah terhadap jawapan yang diberi. 

AMBIL BERAT

Sejak kematian bapa, ibu terpaksa bekerja keras dan ambil berat untuk menyara kami sekeluarga. Selepas solat subuh, ibu akan ke rumah Encik Karim, Pegawai Daerah di Pekan Kuala untuk mencuci kain. Sebelum ni, ayahlah yang ambil berat tentang makan minum kami sekeluarga. Sebagai anak sulong, aku bertekad untuk belajar bersunggu-sungguh dan membalas jasa ibu ku. Aku juga terpaksa ambil berat terhadap pelajaran adik-adik ku. Aku tidak mahu, kerana miskin, pelajaran dilupakan.

Kalau boleh aku nak ikut jejak Abraham Lincoln yang hidupnya miskin tapi berjaya menjadi seorang presiden. Aku juga bersyukur kerana masyarakat selalu ambil berat dengan masalah keluarga ku. Aku selalu berdoa supaya kami sekeluarga dapat hidup dengan tabah dan berjaya dalam kehidupan. Selepas beberapa tahun, aku telah berjaya menamatkan pelajaranku di sebuah universiti tempatan. Aku kini bergelar seorang guru yang sentiasa mengambil berat tentang anak bangsa. Adik-adikku juga sedang mengikuti persekolahan mereka. Aku juga kini sangat ambil berat dengan ibu ku yang sebelum ni bekerja keras untuk kejayaan anak-anaknya. 

SEPERTI AUR DENGAN TEBING

Wak Jali tergesa-gesa menunggang motosikal untuk menghadiri mesyuarat kenduri kahwin di rumah Pak Itam. Wak Jali bimbang terlewat sampai. Kalau dia terlewat, lambat pula mesyuarat akan habis. "Minta maaf saudara smua, saya terlewat." kata Wak Jali sebaik saja sampai di rumah Pak Itam. Selepas minum seteguk air kopi, Wak Jali memulakan mesyuarat kenduri kahwin.

"Kalau tak ada apa-apa halangan kita akan mengadakan gotong-royong untuk kenduri anak jiran kita yang akan berlangsung sedikit masa lagi. Ini adalah mesyuarat kenduri kahwin yang ke seratus kali. Alhamdulillah, sepanjang kita mengadakan kenduri kahwin, semangat gotong royong dan kerjasama antara jiran masih lagi kuat di kampung kita ni seperti aur dengan tebing." kata Wak Jali dengan penuh semangat. Kemudian Wak Jali membacakan senarai nama dengan tugas masing-masing. Sebaik saja mesyuarat berakhir, mereka dihidangkan dengan sedikit juadah oleh Mak Bedah, isteri Pak Itam.   

KAKI BANGKU

Osman sering mengelak apabila diajak kawannya untuk bermain bola. Dia selalu memberi alasan yang dia kaki bangku. Kalau diajak berlumba lari, Osman tak pernah menolak sebab dia adalah pelari sekolah. Ketika Pendidikan Jasmani, Cikgu Yusof mencari Osman. Cikgu Yusof tak nampak batang hidung Osman di padang. "Kenapa Osman tak turun padang untuk PJ?" tanya Cikgu Yusof pada Saiful. "Dia dalam kelas cikgu" jawab Saiful. Cikgu Yusof suruh Saiful memanggil Osman. Beberapa minit kemudian, Saiful membawa Osman berjumpa Cikgu Yusof. Rakan kelas yang lain sedang asyik bermain bola waktu PJ. "Mengapa kamu tidak turun untuk bermain bola sewaktu PJ?" jawab Cikgu Yusof kepada Osman. "Saya tak pandai main bola cikgu. Saya kaki bangku." jawab Osman. "Cuba sepak bola ini kepada saya" kata Cikgu Yusof.

Mahu tak mahu Osman menyepak bola ke arah Cikgu Yusof. Cikgu Yusof menahan bola dengan kakinya. Cikgu Yusof sepak semula bola itu kepada Osman. Osman menyepak semula bola itu kepada Cikgu Yusof. Selepas sepuluh minit Cikgu Yusof menepuk bahu Osman sambil berkata, "Awak boleh menendang bola. Awak juga mempunyai gaya menendang bola yang hebat. Awak juga bukan kaki bangku. Awak kena selalu bermain bola waktu PJ atau pada waktu petang. Kelak, awak boleh menjadi pemain bola sepak yang hebat".

Sekali lagi bahu Osman ditepuk orang. "Eh..mengapa termenung ni?" tegur Ramlan. "Oh! kau rupanya. Aku teringat sewaktu aku di sekolah rendah. Aku selalu kata aku ni kaki bangku. Tapi, Cikgu Yusof selalu beri semangat pada aku. Akhirnya aku berada di sini. Di sekolah Sukan Bukit Jalil" balas Osman dengan perasaan bangga.